Thursday, September 25, 2008

Membina rumah pasir


Di masa kecil mereka membina rumah-rumah pasir, mengutip keseronokan sebagaimana anak-anak lain.
Di satu tempat, rumah-rumah hancur berkecai, mayat bergelimpangan, darah mengalir bagaikan sungai, kematian demi kematian yang dilihat bukan suatu sandiwara.
Bersyukurlah wahai anak-anak, masih ada kedamaian dan kasih sayang yang tercipta.


21/4/2020
Walaupun sedikit demi sedikit keindahan yang kita miliki dimamah usia, dan telah mulai hilang dalam pandangan kita. Rumah-rumah pasir yang di bina di pantai dilanda ombak, hilang didalam buih-buih. Kalian anak-anak tercinta sudah tidak mesra lagi ke pantai kenangan itu. Hanya sekali sekala kita datang mengutip kenangan lalu yang indah.

Masa terlalu cepat datang dan pergi. Di pantai nan indah damai itu, tetap seperti dulu, kini kalian membesar bersama waktu.

Merenung ke lautan membiru

Di tepi Pantai Teluk Batik, kenangan pasti tidak dilupakan . Cinta hanya terlerai oleh kematian. Saat-saat begini, tiada yang paling indah, didampingi oleh anak-anak yang telahpun dewasa.


21/4/2020

Kesepian di musim Coronavirus, berlanjutan sejak beberapa minggu. Sehingga kami tidak dapat pulang untuk menziarahi ibu dan ayah tercinta.

Menungan seorang ayah


Di anjung kehidupan ini ayah merenungi hari-hari yang berlalu. Melalui latar zaman, kejerihan memikul hidup di sebuah desa. Kecekalan serta kekuatan semangatnya, hari ini anak-anak telah meraih kehidupan yang sempurna. Hatinya berbunga mekar.
Kini dia meniti hari-hari tuanya bersama isteri tercinta.

Kekadang tergugah jua rasa rindu, masa silam dan ragam kehidupan yang dilaluinya. Pada takah usia begitu, hanya kesayuan hati meniti masa. Beginikah akan terjadi pada putaran usia? Dan beredaran sebagaimana aliran sebuah sungai. Akan sampai ke penghujung kuala usia, lautan kehidupan maha luas.

Hari ini, 23 May 2025, Jumaat pagi yang cerah. Bilah-bilah mentari menyinar terang. Kesepian pagi diteman oleh Jazz yang lembut. Kesepian ini memutarkan semula kepingan kenangan sewaktu hidup disamping keluarga yang kini tertinggal jauh, tentang masa lalu dibesarkan oleh ibu dan ayah. 1/12/2021, ayah telah kembali ke pangkuan Ilahi, tidak lama selepas ayah uzur kerana menanggung kesakitan di bahagian perut yang tidak sembuh-sembuh, walau anak-anak telah berusaha dan pasrah berdoa. Kita ini milik Tuhan, daripada tanah kita dijadikan dan akan kembali semula seperti asal. 

Aku tidak bimbang ke mana ayah akan dibawa selepas kematiannya, kerana aku yakin ayah adalah seorang insan yang taat dan berbakti kepada keluarga dan membesarkan anak-anaknya dengan elok sekali. hubungan ayah dengan keluarga dan rakan-rakan tidak dapat ditandingi, cukup sempurna dan luhur sekali. Walaupun ada sesekali krisis dalam keluarga, namun ianya tidak meruntuhkan keharmonian dalam kehidupan berkeluarga. Ayah, tidak ada gantinya lagi. Namun, ayah telah tidak dapat mencurahkan kebaikannya itu. Masanya sudahpun tiba, bagi sesiapapun, kematian yang datang sesaat tidak dapat dielakkan.

Satu perkara, aku masih terkilan sehingga ini, beberapa bulan sebulan sebelum ayah meninggal, waktu itu ayah terlantar di katil. Pada malam itu kebetulan ibu berada di rumah adik perempuanku di Rawang, kerana urusan perubatan di sana. Aku dan isteri bersedia untuk menjaga ayahku, yang ketika itu sendirian di Pasir Panjang Laut. Pada malam itu ayah mengajak aku tidur di sisinya di atas katil, tetapi aku menolaknya dengan memberi alasan mahu tidur di hadapan pintu. " Tidurlah di sebelah ayah, Lan" pelawa ayahku dengan suara yang lembut. Kataku, menbalas, " Tak apalah ayah, saya tidur di depan pintu ni, jika ayah hendak bangun kencing nanti ayah kejutkan saya, lagipun saya tidur lesak, nanti menganggu tidur ayah." lalu ayah diam, tidak berkata, matanya melirik ke arahku senyum.Ketika itu aku tidak merasakan apa-apa, tetapi hari ini, setelah ayah tiada, setelah ayah hidup dalam alam yang lain, aku sering terngiang-ngiang pelawaan ayahku itu. 

Ketika ini aku terasa rindu mencengkam, rindu kepada ayah yang sewaktu kecilku, sebelum aku boleh merangkak dan berjalan, sebelum aku boleh berlari, sebelum aku jadi sebesar ini, dialah ayahku yang sering tidur disebelahku. Dialah , yang sering memangkuku dan memelukku dengan penuh kasih sayang. Adakah aku merasakan aku sudah dewwasa ketika ini adakah aku perlu merasa malu untuk memeluk tubuhnya yang sudah dimamah waktu. Adakah disebabkan dia sedang sakit, aku punya alasan tidak mahu tidur di sisinya, sedang dialah yang telah mendidikku, memberikan segalanya kepadaku. Aku masih ingat lagi bagaimana susah payah ayah membesartkan kami, sewaktu kecil kami ayah berjimat cermat untuk membeli rumah, menyara persekolahan kami. Sehinggalah aku dapat hidup seperti hari ini, semuanya adalah jasa budi ayah yang tidak dapat dibalas.

Aku tidak menjangka, itulah keinginan ayah yang terakhir, untuk aku tidur di sisinya yang tidak dapat kulakukan sekali lagi. peluang itu hanya sekali dan telah tiada lagi peluang untuk melakukannya. 

Pada waktu kanak-kanak aku seorang anak lelaki sulong yang nakal, kata ibuku. Ketika itu ayah dan ibu tinggal di tebing Sungai Perak. Aku membesarkan dalam suasana kampung yang serba serbi kekurangan. Walaupun ayahku seorang guru sekolah, tetapi ketika itu berapa sangat pendapatan seorang guru yang berkelulusan maktab perguruan. Ketika itu, aku belum lagi bersekolah rendah. Ayah sudah mengumpul wang untuk membeli sebidang tanah di kampung sebelah, terletak di tepi jalan raya. Ayah bercadang membongkar rumah pusaka datuk dan membina semual di tanah yang baharu dibeli.   

Hari ini, aku masih memiliki seorang ibu.Dia hidup sendirian di rumah pusaka tinggalan ayah 

 

Cincin Batu Ramadhan


Sebutir permata kilau cahaya
di atas sejadah berzikir dan selawat
junjungan Rasulullah

Nur Muhammad, Nur Allah
Tebaklah sukma dipanah ZatNYA
Jadi sahabat semasa hayat.
Sebentuk cincin yang pernah ku tatap dan dan memakainya pada tahun 2008, dan pada hari ini 7.1.2026, aku merasai batu dan cincin ini tersehindar daripada apa yang membakar. Ya aku masih mahu menyarungkan ke jari yang semakin gemuk-gemuk, kecuali anak jari sahaja yang boleh dimuatkan.
Aku merasa berat untuk meulai menaip menulis, dan apabila ku sarungkan dua belah cincin ke dalam jari sebelah kiri  dan kanan, terasa seimbang. Seperti sebuah perahu yang seimbang membelah arus yang deras, dan kesimbangan itu perlu untuk sampai ke hujung yang tidak bertepi.
Sayang sekali meja tempat kau menari telah hangus terbakar menjadi abu. Dasyat kejadian itu tanpa mengenal teman atau musuh. Mereka yang menerpa tiba-tiba tanpa mata dan perasaan, itulah musuh sebenarnya kita apabila kiamat kelak. Bahan api neraka yang terdiri daripada bahannya manusia, dan batu-batan. Dasyat, itulah yang paling teruk. 
Dalam senyap ,. usia cincin ini telah berusia 18 tahun. Sebenarnya aku jarang memakainya di jari, hanya disimpan didalam sebuah kotak, bertahun-tahun lamanya sehingga pada hari kebakaran itu berlaku, Bekas kotak cincin itu terselamat daripada kebakaran. 

Monday, September 22, 2008

Di bulan keberkatan ini, sewajarnya umat Islam di tanahair tercinta melakukan lebih banyak ibadah kepadaTuhan. Sebaliknya kita diserabutkan oleh kemelut politik. Perpecahan ini seakan tiada penghujungnya. Memang tidak akan ada mengaku akan kesilapannya. Itulah sifat-sifat keji manusia. Kerana pangkat, kuasa akan muncullah kekayaan. Aku sudah muak dengan pertelingkahan oleh orang-orang yang mengatakan mereka adalah pemimpin negara ini.

Apa pegangan mutlak mereka? Tidak ada apa-apa, percayalah. Di surau, masjid, tempat-tempat ibadat yang lain juga, yang pasti ibadat terganggu oleh hiruk pikuk, haru biru politik hari ini. Yang sebenar-benar adil, jujur, adalah Tuhan.

Pujilah DIA. Memadailah bagi kitaran berfikir kita melaksanakan hak-hak sebenar. Sungguh letih asyik memikirkan perebutan sesama manusia ini.
Bersinarlah langit itu dimalam lailatulqadr
semakin berat menanggung salam dan selawat
ucapan tasbih keagungan, zikir-zikir kemuliaan
berkeping-keping disayap malaikat.

Luka-luka taubat mengadap Khalik di Ramadhan yang baraqah
sebulan kemuliaan masjid dan surau melimpah ruah.

Bertemu lagikah hamba-hambanya
tahun mendatang untuk memakmurkan?
kerana akhir bulan keberkatan ini
manusia akan menjadikan syaitan
teman seperjalanan.

Saf-saf kembali renggang
kecuali insan yang ikhlas
dan meyakini
pujian kepada Tuhan
bagai mengalir nafas
di tubuh.










Friday, September 19, 2008

Di mana-mana di atas bumi bernama tamadun bangsa, apapun mereka memiliki bahasa tersendiri. Ringkasnya, mengapa orang-orang pandai bijak pandai yang duduk di parlimen, di kementerian, di institusi bahasa, sedang menggali ruang kubur sendiri? Meniruk ke jantung bahasa, tertusuk sebilah belati, maka mengalirlah kematian demi kematian bergumpal di kuala.

Mahu jadi jagoan? Tidak lebih nilainya bangkai ayam,kambing,segala sampah menghilir ke kuala tamadun. Bahasa itu jangan dilengahkan lagi. bahasa negara, bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, yang telah menyatukan pelbagai etnik semenjak pra-merdeka.

Atau mahu kuburan aristokrat kamu, dikencing cucu cicit nanti. 'Kamulah punca semua kecelakaan ini.'

Monday, September 15, 2008

Pertengahan Berfikir

Indahnya dunia dengan warna warninya. Indahnya kata disusun, dengan marah, bujukan dan benci kerana pemerintah tidak mahu mendengar bahawa merekalah perosak semua keindahan dan kesantunan kata. Jadi, mahu gunakan bahasa apa lagi untuk menegur kekejian. Bahasa pasar? Carut! Ciss,...kita bukan penderhaka!
Malam semakin sunyi.Berita kematian bapak saudara. Dia orang mencari Tuhan. Bukan ustaz, kerana seseorang yang menjadi ustaz hanya belajar untuk jadi ustaz. Bukan mencari-cari Tuhan-nya. Tidak ramai yang sanggup beruzlah begitu. Bertapa, khalwat di gua-gua. Mana ada lagi. Kalau adapun pasti mendapat cemuhan daripada banyak orang.

Sunday, September 14, 2008

Subuh itu aku dikejutkan oleh deringan telefon bimbit yang ku letakkan di hujung kepala katil. Biasanya aku duduk di hadapan sebuah jendela di kamarku, menghirup segarnya udara malam sambil mentelaah kitab tafsir, membaca novel-novel tempatan, sehingga jam 3 pagi. Begitulah rutin jadualku saban hari. Sekiranya isteriku memang sudah tertidur awal.,....